URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140412/dn_25/Kerakyatan-tidak-diberi-cara-mudah
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Editor :
Thomas Chong
Date :
12/04/2014
Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kenyataan akhbar berhubung isu pemegang pasport BOC sambil diperhatikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 11 April - Peme-gang pasport Taraf Kewarganegaraan Luar Negara British (BOC) yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia tidak akan memperolehi semula kerakyatan mereka secara automatik sebaliknya perlu melakukan permohonan seperti warga asing lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, taraf kewarganegaraan tidak akan diberikan secara mudah kerana terdapat individu yang mengoyakkan pasport Malaysia atas rasa benci malahan ada ‘menikam’ Malaysia setelah mereka menolak kerakyatan negara ini.

Beliau berkata, golongan yang melepaskan taraf kerakyatan perlu menunggu selama 17 tahun selain lulus dalam ujian kemahiran Bahasa Melayu jika mahu mendapat semula identiti sebagai rakyat negara ini.

“Jika tidak lulus ujian Bahasa Me-layu, mereka tidak perlu bermimpi untuk dapat taraf kewarganegaraan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Isu pemegang pasport BOC timbul apabila United Kingdom (UK) meminda undang-undang kerakya-tannya apabila negara tersebut tidak lagi mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan untuk pemegang pasport BOC yang melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia selepas 4 Julai 2002.

Pindaan itu menyebabkan pemegang pasport BOC berkenaan tiada pilihan melainkan pulang ke Malaysia atau berdepan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan UK.

Ahmad Zahid berkata, pemegang pasport BOC yang pulang ke Malaysia tidak akan memperolehi taraf kewarganegaraan atau taraf pemastautin tetap tetapi mereka sekadar memperolehi Pas Residen yang perlu diperbaharui setiap lima tahun.

Beliau turut menafikan kenya-taan Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik bahawa sebanyak 1,000 peme-gang pasport BOC telah diterima pulang oleh kerajaan Malaysia.

“Sehingga hari ini, hanya tiga orang pemegang pasport BOC yang diterima pulang ke Malaysia tetapi mereka menerima Pas Residen dan bukannya taraf kewarganegaraan.

“Ramai individu yang ingin pulang ke Malaysia selepas hasrat mereka untuk menjadi warganegara UK tidak tercapai. Statistik 2005 hingga 2013 menunjukkan 673 orang menolak kewarganegaraan Malaysia kerana memperolehi kerakyatan UK," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pemegang pasport BOC hanya boleh pulang ke negara ini dengan kelulusan daripada Jabatan Imigresen selepas memohon Pas Residen melalui pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

“Pas Residen akan ditampal dalam pasport BOC dan peme-gangnya perlu melapor diri di kaun-ter khas di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) bagi tujuan pengesahan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya pada tahun ini telah menolak permohonan 2,384 warga asing untuk menjadi rakyat negara ini.