URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140413/dn_02/Tiada-maaf-jika-lepaskan-kerakyatan---Zahid-Hamidi
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
13/04/2014
BAGAN DATOH 12 April - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada maaf untuk rakyat negara ini yang telah mendapat taraf Kerakyatan Luar Negara British (BOC) untuk memohon semula kewarganegaraan Malaysia.

Katanya, golongan tersebut tidak akan memperoleh semula kerakyatan secara automatik sebaliknya perlu melakukan permohonan seperti warga asing lain.

“Jika telah melepaskan kerakyatan, tiada maaf bagi mereka, kena ikut Peraturan Imigresen Perkara 16A 1963.

“Peraturan ini harus diikuti oleh semua rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jom Sihat Anak Angkat Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) di Sekolah Kebangsaan Tanjung Bayan dekat sini hari ini.

Beliau menegaskan perkara itu ketika mengulangi penafian terhadap kenyataan Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik kononnya sebanyak 1,000 pemegang pasport taraf kewarganegaraan luar negara British (BOC) telah diterima pulang oleh kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya tidak mudah melepaskan kewarganegaraan hanya disebabkan `perasaan bencikan negara'.

Menurutnya, mereka juga tidak seharusnya melepaskan kewarganegaraan kerana hasutan pihak pembangkang dan terjebak dengan syarikat yang menjanjikan urusan mendapatkan kewarganegaraan negara lain.

“Peraturan Imigresen Perkara 16A menyebutkan 'tidak ada seorang pun warganegara Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraannya, apabila memohon kembali kewarganegaraan akan diberikan secara automatik'.

“Peraturan ini bukan sahaja bagi mereka yang telah melucutkan kewarganegaraan Malaysia di United Kingdom tetapi juga mereka yang tinggal di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya.

Menurutnya, sebenarnya hanya tiga orang pemegang pasport BOC yang diterima pulang ke Malaysia tetapi mereka menerima pas residen dan bukannya taraf kewarganegaraan.

“Kerajaan tidak pernah memberikan taraf warganegara kepada 1,000 orang pemegang pasport BOC seperti yang didakwa Ahli Parlimen Tanjong. Itu tidak benar.

“Jadi kepada pengamal media sosial dan penulis blog, jangan terpengaruh dengan tuduhan bahawa saya tidak patriotik.

“Saya bekerja mengikut peraturan. Apa yang kita berikan kepada tiga pemegang pasport BOC adalah pas residen dan bukannya taraf kewarganegaraan,'' ujarnya.

Katanya, untuk memohon kewarganegaraan, mereka yang terlibat perlu tunggu selama 17 tahun.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan, bagi warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara dan ingin kembali ke negara ini sebagai tenaga profesional, kerajaan akan mempermudahkan kemasukan mereka.

“Mereka adalah golongan yang mempunyai ilmu dan pengalaman dan mahu kembali bagi membantu membangunkan negara," katanya.