Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_45.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
06/12/2008
WANG KELIAN 5 Dis. - Mulai hari ini, rakyat Malaysia tidak perlu lagi menggunakan pasport antarabangsa atau pas sempadan untuk memasuki kawasan Thailand bagi jarak satu kilometer dari pagar sempadan antara kedua-dua negara.

Mereka sebaliknya, hanya perlu menunjukkan Mykad. Namun masih ramai yang belum menyedari tentang kelonggaran syarat itu.

Suasana lengang masih dirasakan di Wang Kelian begitu juga di Wang Prachan yang terletak di sebelah Thailand, dengan hanya beberapa gerai sahaja yang beroperasi.

Tinjauan rambang mendapati, kebanyakan pihak tidak menyedari tentang sekatan yang ditarik balik sejak Februari tahun ini, telah dikembalikan.

Kakitangan Imigresen Malaysia di pos sempadan Wang Kelian kelihatan tidak sibuk kerana jumlah rakyat Malaysia yang menyeberangi sempadan masih kecil begitu juga dengan jumlah kemasukan rakyat Thailand dan pelancong asing ke negara ini melalui negara jiran itu.

Pengarah Imigresen Perlis, Nik Ahmad Zahazli Nik Yah, ketika ditemui semasa melakukan tinjauan pada hari pertama pelaksanaan semula sistem itu di sini hari ini berkata, setiap rakyat Malaysia kini hanya wajib mengemukakan Mykad kepada Imigresen untuk dimasukkan dalam sistem komputer sebelum dibenarkan melepasi sempadan.

"Mereka juga perlu menyerahkan Mykad kepada Imigresen semasa pulang untuk mengesahkan bahawa mereka telah keluar dari negara jiran itu.

"Jika mereka terlupa untuk menyerahkan Mykad semasa perjalanan masuk dari negara jiran itu, mereka dianggap melakukan kesalahan dengan tidak kembali ke negara ini selepas memasuki Thailand," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Penguatkuasaan dan Alam Sekitar Perlis, Mat Rawi Kassim, yang turut melakukan tinjauan di Wang Kelian berharap para peniaga di Wang Kelian memanfaatkan kemudahan itu dengan memulakan perniagaan mereka di kompleks perniagaan yang disediakan.

"Wang Kelian perlu menjadi kawasan yang tersusun dan perlu diperindahkan dengan landskap dan kegiatan yang boleh memikat pelancong dan orang ramai termasuk memperkenalkan perkhidmatan beca untuk kemudahan pergerakan orang ramai," katanya.

Di wang prachan, para peniaga Thailand menyambut baik pelaksanaan semula kemudahan itu dan berharap limpahan rezeki akan turut datang kepada mereka setelah perniagaan mereka hampir lumpuh sejak Februari tahun ini.

"Kami bergantung kepada rakyat Malaysia. Jika mereka tiada, kami akan kehilangan pendapatan," kata Saleha Ali, 47, yang berniaga pakaian.

Kerajaan Perlis dan pentadbiran wilayah Satun telah bersetuju supaya kemudahan itu bermula hari ini, hasil mesyuarat kerjasama dua hala yang berlangsung di pejabat Gabenor Wilayah Satun pada 2 Disember lalu.

- Bernama