Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
10/01/2008
PUTRAJAYA 9 Jan. – Langkah kerajaan menghentikan amalan keluar masuk secara bebas tanpa perlu menunjukkan dokumen perjalanan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis pada hujung minggu tidak menjejaskan kemasukan pelancong dari negara tersebut.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, keputusan tersebut tidak bermaksud mahu menutup laluan itu kepada pelancong, sebaliknya ia dibuat atas faktor keselamatan negara.

‘‘Saya tidak boleh bayangkan ada tempat di dunia membenarkan laluan bebas keluar masuk seperti di Wang Kelian yang langsung tidak memerlukan dokumen tanpa mengira siapa anda.

‘‘Ini amat menakutkan kita. Ketika dunia bercakap soal masalah keselamatan, amalan tersebut bukan saja membenarkan rakyat Thailand masuk tetapi pengganas dari serata dunia boleh masuk ke negara ini secara bebas,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Isnin lalu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau mahu membuat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keputusan menamatkan amalan keluar masuk secara bebas di Wang Kelian yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurut Shahidan, tindakan itu menyebabkan lebih 400 peniaga tempatan menghadapi kemungkinan menutup perniagaan ekoran keputusan itu selain mengalami kerugian RM1 juta sebulan apabila jumlah pelancong Thailand berkurangan daripada 40,000 orang pada hari minggu kepada kira-kira 10,000 orang sahaja sekarang.

Keputusan menamatkan amalan keluar masuk secara bebas di Wang Kelian sejak 15 tahun lalu itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom 18 Disember lalu.

Mulai awal tahun ini, semua rakyat Malaysia yang mengunjungi pasar sehari di Wang Prachan di sebelah Thailand perlu mengemukakan dokumen perjalanan iaitu pasport antarabangsa atau pas sempadan selain cap jari mereka diambil.

Langkah tersebut juga telah diperluaskan ke kawasan lain yang bersempadan dengan Thailand seperti Bukit Bunga di Kelantan.

Menurut Radzi, peniaga atau pelancong dari kedua-dua negara yang tinggal dalam wilayah di kawasan sempadan sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk memasuki Wang Kelian kerana mereka akan diberikan pas sempadan dan kemudian diambil cap jari.

‘‘Apabila masuk buat kali kedua, mereka tidak perlu lagi membawa sebarang dokumen sebaliknya hanya ‘bawa jari’ untuk proses pemeriksaan biometrik kerana segala data sudah ada dalam sistem kita.

‘‘Cuma sekarang kita hapuskan amalan ‘mengangkat tangan’ ketika memasuki kawasan sempadan,” katanya.

Menjelaskan situasi sebenar di Wang Kelian, beliau menyatakan, selepas berlaku pergolakan di wilayah selatan Thailand, para peniaga dari negara itu telah bertindak memindahkan gerai mereka ke kawasan sempadan di sebelah Malaysia.

‘‘Apa yang berlaku sekarang ialah lebih 157 buah gerai di kawasan sempadan kita dimiliki oleh rakyat Thailand berbanding peniaga tempatan hanya ada 110 buah gerai,” katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, status kira-kira 30,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia di Sabah yang memohon taraf penduduk tetap (PR) dijangka dibangkitkan dalam lawatan kerja tiga hari pemimpin republik itu ke sini bermula Khamis ini.

Katanya, sebahagian besar PATI terbabit telah menetap lama di Sabah dan mempunyai anak dilahirkan di negeri itu.

‘‘Nak dikategorikan sebagai penduduk Sabah pun tidak boleh, sekarang ada permintaan supaya mereka diberi status PR.

‘‘Cuma dalam hal ini, kita hanya boleh beri mereka peluang bekerja jika kerajaan Indonesia keluarkan pasport dan mengiktiraf PATI terbabit rakyat mereka manakala majikan membayar levi,” katanya.

Radzi ditanya tentang isu berkaitan PATI yang dijangka dibangkitkan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam lawatan kerja ke negara ini bermula Khamis ini.