Group :
Sub-Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_06.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
15/01/1998
KUALA LUMPUR 14 Jan. Jabatan Imigresen hari ini mengumumkan kadar baru bayaran bagi beberapa dokumen perjalanan sehingga lebih 100 peratus yang berkuat kuasa serta-merta.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd. Sabri Zainal dalam kenyataannya berkata, dokumen-dokumen yang terlibat dengan kadar baru itu ialah Dokumen Perjalanan Kumpulan (dokumen untuk melancong ke luar negara untuk satu perjalanan pergi-balik secara berkumpulan lima orang dan ke atas), Sijil Perakuan Cemas (dokumen yang digunakan sekiranya seseorang warganegara Malaysia terpaksa keluar/masuk negara dan menghadapi masalah dengan pasport yang dipegangnya), Sijil Akuan Pengenalan (dokumen ke luar negara untuk pemegang kad pengenalan merah), Sijil Akuan Pengenalan Terhad (dokumen untuk memasuki Singapura atau Sabah dan Sarawak), Pas Sempadan (dokumen untuk warganegara yang tinggal di sempadan Thailand) dan Pas Lintas Batas Malaysia-Indonesia.

Bayaran Sijil Akuan Pengenalan Terhad yang dulu hanya RM20 dinaikkan kepada RM300.

Bagi Dokumen Perjalanan Kumpulan kadarnya dinaikkan dari RM90 kepada RM200, Sijil Perakuan Cemas naik dari RM20 kepada RM50 dan Sijil Akuan Pengenalan mencatatkan kenaikan sebanyak RM460, iaitu dari RM40 kepada RM500.

Pas Sempadan pula naik sebanyak RM8, iaitu dari RM2 kepada RM10 dan kenaikan sebanyak RM10 pula dikenakan ke atas Pas Lintas Batas menjadi RM20.