Group :
URL :
http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=3265
Date :
04/12/2008
PENGUMUMAN PENGGUNAAN PASPORT TERHAD MALAYSIA-SINGAPURA
Posted by on 04/12/2008 10:37:12
 

Pada hari ini 07.04.1967, Menteri Dalam Negeri, Tun Dr. Ismail telah mengumumkan tarikh penggunaan pasport terhad Malaysia - Singapura iaitu berkuatkuasa pada 1 Julai 1967. Dengan ini bermakna mulai dari tarikh itu setiap rakyat dari Singapura yang datang ke Malaysia Barat dikehendaki mempunyai Pasport. Undang-undang ini juga berkuatkuasa bagi rakyat Malaysia yang pergi ke Singapura. Sebelum pasport terhad Malaysia-Singapura ini dikuatkuasakan, penduduk kedua buah negara hanya menggunakan kad pengenalan sebagai surat perjalanan untuk berulang alik antara Malaysia dan Singapura. Dalam pengumuman tersebut, Tun Dr. Ismail menyatakan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk mengadakan pasport khas tersebut bagi kegunaan perjalanan antara kedua buah negara. Pasport yang akan dikeluarkan untuk warganegara Malaysia akan dikenali sebagai 'Pasport Terbatas Malaysia' - 'Restricted Malaysia Passport' yang mengandungi 64 muka dan boleh digunakan selama lima tahun. Tun Dr. Ismail berkata, tujuan mengadakan pasport itu ialah untuk memberi kemudahan kepada warganegara kedua buah negara berulang alik dari semasa ke semasa. Pasport biasa boleh juga digunakan untuk tujuan itu tetapi orang ramai dinasihatkan supaya mengambil pasport terbatas Malaysia. Mereka yang bukan warganegara Malaysia dikehendaki membuat permohonan untuk pasport terbatas ini di kedutaan-kedutaan atau di pejabat-pejabat Pesuruhjaya Tinggi mereka di Malaysia atau di Singapura. Sesungguhnya dengan penggunaan pasport terbatas Malaysia atau yang dikenali sekarang dengan Pasport Terhad Malaysia adalah satu usaha ke arah penyelarasan berkaitan dengan penggunaan dokumen-dokumen perjalanan antara Malaysia - Singapura.