Group :
URL :
http://www.mstar.com.my/artikel/?file=/2006/6/23/TERKINI/Mutakhir/Pasport_terhad_ke_Singapura_dilanjut_hingga_Oktober
Publisher :
mStar, Star Publications (Malaysia) Berhad
Date :
23/06/2006
SINGAPURA:  Singapura telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh akhir bagi menghentikan penerimaan Pasport Terhad Malaysia (MRP) sebagai dokumen penjalanan sah selama empat bulan atau sehingga Oktober ini, di mana selepas itu hanya pasport antarabangsa Malaysia akan diterima sebagai dokumen perjalanan sah.

Lanjutan itu, yang sudah pasti melegakan ribuan pekerja Malaysia yang berulang-alik antara kedua-dua negara itu, dicapai sewaktu perbincangan antara Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Wong Kan Seng yang juga Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, hari ini.

"Kami telah meminta penangguhan daripada pihak berkuasa Singapura untuk tempoh empat bulan lagi. Mereka masih boleh menggunakan pasport terhad itu sehingga Oktober sahaja," kata Mohd Radzi kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Februari lepas, Pihak Berkuasa Imigresen dan Tempat Pemeriksaan (ICA) Singapura mengumumkan bahawa ia akan menamatkan penerimaan MRP sebagai dokumen perjalanan bermula 1 Julai tahun ini.

Keputusan itu berikutan pengumuman Jabatan Imigresen Malaysia bahawa ia tidak lagi akan mengeluarkan MRP bermula Januari 2005 dan MRP tidak lagi menjadi dokumen perjalanan sah selepas 31 Dis tahun ini. 

ICA menyatakan bahawa tempoh akhir 1 Julai itu adalah berikutan amalan yang memerlukan semua dokumen perjalanan mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan.

Mohd Radzi, yang berterima kasih kepada Singapura kerana melanjutkan tempoh tersebut, berkata perkembangan terbaru itu juga akan mengurangkan kesesakan di pejabat Jabatan Imigresen di Johor Bahru di mana secara purata 1,200 permohonan untuk pasport diterima setiap hari berbanding kemampuan untuk memproses hanya 750 permohonan.

"Saya mahu mengingatkan pekerja-pekerja Malaysia yang masih memegang MRP supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk memperbaharuinya," kata Mohd Radzi.

Berdasarkan statistik, kira-kira 9.9 juta MRP telah dikeluarkan sejak ia mula diperkenalkan 37 tahun lalu.

Mohd Radzi berkata sehingga kini, masih terdapat kira-kira 20,000 pemegang MRP yang belum memperbaharui dokumen mereka.

Sewaktu mesyuarat itu, Mohd Radzi dan Wong juga membincangkan tentang dokumen-dokumen yang perlu digunakan oleh kira-kira 100,000 pekerja Malaysia yang berulang-alik antara kedua-dua negara supaya pasport mereka tidak perlu dicop setiap kali mereka memasuki atau meninggalkan Singapura. 

"Mereka telah bersetuju bahawa pasport antarabangsa Malaysia tidak akan dicop jika pekerja-pekerja ini menunjukkan kad pekerja mereka atau yang dikenali sebagai kad hijau, yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Singapura," kata Mohd Radzi.

Mereka yang kerap memasuki negara itu juga boleh memohon daripada ICA untuk mendapatkan kad akses Sistem Kebenaran Automatik Imigresen (IACS) -- kad pintar yang menyimpan cap jari pemiliknya.

Mereka yang layak untuk mendapatkan kad kad akses IACS ialah warganegara Singapura, penduduk tetap, pemegang pas seperti pas pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang, pas pekerjaan, pas tanggungan seperti permit kerja. Pemohon IACS mestilah berusia sekurang-kurangnya enam tahun.

Pemilik kad akses IACS boleh memasuki atau keluar di pusat pemeriksaan menerusi laluan automatik di mana kad dimasukkan ke dalam mesin pembaca dan imbasan ibu jari kanan dibuat untuk pengesahan.

Buat masa ini, IACS hanya boleh didapati di Lapangan Terbang Changi, Pusat Pelayaran Singapura, Terminal Feri Tanah Merah dan dewan penumpang bas di Woodlands dan Pusat Pemeriksaan Tuas. BERNAMA