Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_03.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
20/03/1998
KUALA LUMPUR 19 Mac - Malaysia mencipta sejarah dalam penerokaan bidang teknologi maklumat dengan pelancaran Pasport Pintar menggunakan teknologi elektronik canggih yang pertama seumpamanya di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang juga Menteri Dalam Negeri dijadual melancarkan Pasport Pintar Malaysia itu, Isnin ini.

Teknologi yang diistilahkan sebagai 'contactless substrate' itu membolehkan pasport tersebut dibaca dengan mesin khas 'Machine Readable Pasport atau MRP' dan butir-butir pasport akan keluar di paparan komputer Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aseh Che Mat berkata, kelebihan pasport pintar itu ialah rekod pasport atau pembawa pasport akan disimpan ke dalam sistem data komputer Imigresen.

''Dengan ini, Imigresen dapat mengguna dan mempastikan maklumat rakyat Malaysia yang keluar masuk menerusi pintu-pintu sempadan, lapangan terbang atau pelabuhan adalah betul dan tepat,'' katanya kepada Utusan di sini hari ini.

Teknologi 'contactless substrate' merupakan daya inovasi IRIS Technologies (M) Sdn. Bhd. yang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen membina teknologi pasport pintar tersebut.

Dr. Mahathir juga turut dijadual merasmikan Kompleks Pintar IRIS di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil pada hari yang sama.

Aseh berkata, menerusi pasport pintar itu, pegawai Imigresen dapat mempercepatkan pemeriksaan keluar masuk pembawa pasport MRP.

''Penggunaan pasport MRP itu secara langsung akan mempertingkatkan imej Jabatan Imigresen sebagai sebuah jabatan kerajaan yang berfungsi lancar dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa,'' katanya.

Beliau berkata, ciri-ciri menarik dalam pasport pintar itu ialah gambar pemegang pasport adalah dalam gambar berwarna dalam bentuk 'digitized' dan bukan seperti kaedah melekat gambar di atas pasport sekarang.

Selain itu, kata beliau, pasport pintar itu mengandungi chip keselamatan (micro chip) yang dimasukkan ke dalam muka surat terakhir buku pasport.

Pengenalan pasport pintar yang menelan kos RM40 juta itu merupakan satu daripada projek pemodenan sistem dokumentasi imigresen yang turut melibatkan sistem visa dan pas yang dikendalikan oleh Kumpulan Guthrie (RM60 juta).

Projek pengkomputeran imigresen pula melibatkan kos sebanyak RM420 juta dan telah dimulakan pada Januari 1995 lalu serta dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2000.

Ia juga membabitkan PNBIT (RM320 juta) bagi sistem pasport, kawalan imigresen, keselamatan, penguatkuasaan dan permit.