Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
26/03/1998
KETUA Pengarah Imigresen Aseh Che Mat menyerahkan pasport canggih elektronik kepada Chua Ban Cheng antara 175 penerima pertama pasport baru di Ibu Pejabat Imigresen, Kuala Lumpur Selasa lalu.

KEJAYAAN negara mencipta sejarah dengan pelancaran pasport pintar elektronik yang pertama seumpamanya di dunia, merupakan manifestasi komitmen kerajaan merealisasikan bandaraya multimedia berteknologi tinggi, Koridor Raya Multimedia (MSC).

Pencapaian tersebut juga bukan saja meletakkan Malaysia berada sebaris dengan negara-negara maju tetapi juga meningkatkan lagi imej dan prestij negara dalam penerokaan bidang teknologi maklumat.

Teknologi canggih yang diistilahkan sebagai contactless substrate telah diinovasikan oleh IRIS Technologies Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang berstatus MSC yang beribu pejabat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil di ibu negara.

Pembangunan MSC merangkumi dua bandaraya pintar iaitu Cyberjaya dan Putrajaya, pusat pentadbiran persekutuan pada masa depan.

MSC yang meliputi kawasan seluas 750 km padu di selatan Kuala Lumpur, diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi pembangunan produk dan barangan multimedia.

Upacara pelancaran pasport pintar berteknologi canggih tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Mahathir sendiri, Isnin lalu.

Pasport baru Malaysia yang menggunakan teknologi boleh dibaca mesin (Machine Readable Passport atau MRP) itu dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi melalui cip yang terbina di dalamnya.

Teknologi contactless substrate membolehkan pasport ini dibaca dengan MRP dan butir-butir pasport akan keluar di paparan komputer imigresen.

Ciri-ciri yang ditawarkan dalam dokumen perjalanan berelektronik ini membolehkan maklumat peribadi termasuk cap jari dan imej pengguna dikesan dengan mudah dan cepat sebagai ciri-ciri keselamatannya.

Dokumen ini menawarkan kod yang boleh dibaca melalui alat pembaca optikal dan secara automatik akan memaparkan maklumat pembawa dan nombor pasport kepada media elektronik seperti fail komputer,'' katanya.

Pengenalan pasport pintar yang menelan kos RM40 juta itu merupakan satu daripada projek pemodenan sistem dokumentasi imigresen yang turut melibatkan sistem visa dan pas yang dikendalikan oleh Kumpulan Guthrie (RM60 juta).

Manakala projek pengkomputeran imigresen melibatkan kos sebanyak RM420 juta dan telah dimulakan pada Januari 1995 lalu serta dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2000.

Ia juga membabitkan PNBIT (RM320 juta) bagi sistem pasport, kawalan imigresen, keselamatan, penguatkuasaan dan permit.

Pasport elektronik yang sebenar kini telah menjadi kenyataan dan pasport yang mempunyai cip silikon di dalamnya itu tidak mudah diubahsuai tanpa merosakkannya dan juga tidak boleh dibuat salinan.

Dr. Mahathir turut menjadi pemegang pertama pasport pintar berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Aseh Che Mat pada majlis pelancaran tersebut.

Pasport yang dilengkapi dengan cip silikon yang dilekatkan di dalam penutup pasport itu mempunyai mempunyai keupayaan menyimpan 8 Kilobait memori yang boleh ditulis semula.

Mesin MRP yang diadakan di kaunter-kaunter imigresen di semua pintu masuk atau keluar negara akan membaca maklumat tanpa perlu menyambungkannya di cip yang terdapat di dalam pasport tersebut.

Pasport yang menggunakan ciri-ciri standard antarabangsa itu mengekalkan ciri-ciri kesamaan untuk sistem MRP yang digunakan di lain-lain negara untuk membolehkan ia diselaraskan di masa depan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aseh Che Mat ketika ditemui Utusan berkata, kelebihan pasport pintar itu ialah rekod pasport atau pembawa pasport akan disimpan ke dalam sistem data komputer imigresen.

''Dengan ini, imigresen dapat menggunakan dan mempastikan maklumat rakyat Malaysia yang keluar masuk menerusi pintu-pintu sempadan, lapangan terbang atau pelabuhan adalah betul dan tepat,'' katanya.

Aseh berkata, menerusi pasport pintar itu, pegawai imigresen dapat mempercepatkan pemeriksaan keluar masuk pembawa pasport MRP.

''Penggunaan pasport MRP itu secara langsung akan mempertingkatkan imej Jabatan Imigresen sebagai sebuah jabatan kerajaan yang berfungsi lancar dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa,'' katanya.

Beliau berkata, ciri-ciri menarik dalam pasport pintar itu ialah gambar pemegang pasport adalah dalam gambar berwarna dalam bentuk 'digitized' dan bukan seperti kaedah melekat gambar di atas pasport sekarang.

Menurutnya, imigresen akan memperluaskan pengeluaran pasport pintar itu secara berperingkat-peringkat ke seluruh negara selepas memperkenalkannya di Lembah Klang terlebih dahulu.

Mulai Selasa lalu juga, pasport itu dikeluarkan di Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan cawangan Damansara, Petaling Jaya, Kajang, Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

Beliau berkata, jabatannya menjangka sebanyak 350,000 pasport pintar tersebut akan dikeluarkan tahun ini dan akan meningkat kepada 7,000 unit setiap tahun dalam masa beberapa tahun ini.

Dokumen-dokumen yang terlibat dalam pengeluaran pasport pertama di dunia mempunyai cip terbina dalam itu ialah Pasport Malaysia (32 dan 64 muka surat), Pasport Diplomatik (32 muka surat) dan Pasport Rasmi Malaysia (32 muka surat).

Pasport itu sah untuk lima tahun sahaja dan lanjutan tidak dibenarkan. Kemasukan maklumat serta butiran anak tidak lagi dibenarkan seperti yang dilakukan pada pasport Malaysia sekarang ini.

Ini bermakna satu naskhah pasport hanya untuk seorang individu.

Bagaimanapun, bagi mereka yang masih memegang Paspot Malaysia yang ada tidak perlu menukarkan kepada pasport Malaysia yang baru dan mereka masih boleh menggunakannya sehingga tamat tempoh sah dokumen tersebut.

Harganya masih sama iaitu RM300 bagi yang mengandungi 32 muka surat dan RM600 bagi yang 64 muka surat.

''Soal sama ada harganya akan dinaikkan lagi selepas ini adalah keputusan kerajaan. Tetapi apa yang pasti, kerajaan mempunyai alasan yang konkrit ketika memutuskan untuk menaikkan harga pasport,'' katanya.

Walaupun memeranjatkan, kenaikan harga pasport antarabangsa Malaysia tidak dapat dielakkan ekoran krisis nilai matawang yang melanda rantau Asia Tenggara sejak pertengahan tahun ini.

Dalam tempoh dua tahun, harga pasport naik lima kali ganda daripada harga RM60 (bagi 32 muka surat) sebelum 1 Januari 1996.

Harga pasport seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Negara 1998 pada 17 Oktober lalu, kini berharga RM300 (32 muka surat) dan RM600 (100 muka surat).

Jabatan Imigresen tidak berlengah-lengah dalam menguatkuasakan kadar baru tersebut keesokan harinya ketika ramai beranggapan masih ada waktu merebut kadar lama untuk memohon pasport.

Alasan yang dikemukakan ialah sebagai satu langkah mengurangkan pengaliran wang keluar disebabkan jumlah rakyat melancong ke luar negara.

Bagaimanapun, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mahathir : ''Pada masa sekarang, keselamatan adalah paling utama dan cara-cara baru adalah perlu untuk memerangi penipuan dan keganasan.''

Harga yang tinggi mungkin bukan saja wajar daripada aspek menjaga keutuhan ekonomi negara tetapi juga menjamin kedaulatan dan keselamatan negara daripada gejala pemalsuan.