Group :
Sub-Group :
URL :
http://hids.dev.skali.net/-/rang-undang-undang-imigresen-1952-diluluskan?searchGoBack=true&keyword=imigresen
Date :
22/11/1952
Tarikh Peristiwa : 22-11-1952

Pada hari ini dalam tahun 1952, Rang Undang-undang Imigresen telah diluluskan. Rang Undang-undang tersebut dibentangkan dalam Majlis Perundangan Persekutuan berdasarkan hasil laporan sebuah jawatankuasa khas yang dilantik untuk mengkaji perkara-perkara berhubung dengan kawalan imigresen. Rang Undang-undang ini merangkumi beberapa bidang. Di antara bidang-bidang tersebut adalah merangkumi perjawatan yang menyatakan bahawa Pesuruhjaya Tinggi hendaklah menentukan jawatan-jawatan pegawai Imigresen dan menentukan kuasa-kuasa mereka sebagaimana yang telah ditetapkan. Berhubung dengan syarat keluar masuk pula, mereka yang ingin memasuki negeri ini mestilah memiliki permit atau pas. Syarat tersebut dikecualikan bagi warganegara Persekutuan Tanah Melayu, warganegara British yang lahir di Tanah Melayu, warganegara British yang menetap di Tanah Melayu dan mereka yang telah memperolehi kerakyatan British secara langsung sama ada daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Gabenor Negeri-negeri Selat atau Gabenor Malayan Union. Rang Undang-undang ini turut menyebut mengenai penyingkiran keluar dilakukan terhadap mereka yang telah tamat tempoh pas atau permit lawatannya dan juga mereka yang difikirkan tidak layak untuk tinggal di Persekutuan Tanah Melayu.