Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131211/dn_08/Tidak-perlu-bawa-gambar
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Editor :
SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
Date :
11/12/2013

Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan contoh pasport antarabangsa yang sudah dicetak sambil diperhatikan oleh Datuk Alias Ahmad (dua dari kiri) dan Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi (kiri) semasa lawatan ke pameran sempena Hari Imigresen 2013 di Dewan Serbaguna Jabatan Imigresen di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 10 Dis. - Lebih dua juta pemohon pasport Malaysia tidak perlu lagi membawa foto sendiri ketika membuat permohonan pada tahun hadapan apabila kerajaan bersedia menanggung kos mengambil dan mencetak gambar pada pasport baru.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan yang akan bermula Mac depan bertujuan meringankan beban rakyat dan memudahkan urusan membuat pasport.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang hendak membuat pasport baharu hanya perlu hadir ke mana-mana pejabat imigresen di seluruh negara dan gambar akan diambil di kaunter tersebut.

"Kerajaan sudah putuskan mulai 1 Mac tahun hadapan semua pemohon baharu dan penggantian atau penyambungan pasport gantian tidak lagi perlu membawa foto yang mengikut ukuran tertentu untuk dilekatkan di borang permohonan dan kemudian pindahkan gambar ke pasport.

'Mereka hanya perlu datang dan bawa diri manakala foto diambil di kaunter berkenaan, langkah ini merupakan inisiatif daripada kerajaan dan rakyat perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang arahkan saya dan imigresen bagi perkhidmatan percuma," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Hari Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Alias Ahmad.

Menurut Ahmad Zahid, sistem baharu itu dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan ketika berurusan dan pasport baru itu juga akan diletakkan elemen biometrik dan kod imbasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun hadapan kerajaan juga telah memutuskan untuk mengenakan visa semasa ketibaan (VOA) terus kepada pelancong dari China dan India yang masuk ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan pelancong dari negara tersebut menyalahgunakan tempoh tinggal di negara ini dengan melakukan masalah sosial atau terus menghilangkan diri.

Dalam perkembangan lain, mengulas isu semakan semula terhadap 125 buah syarikat kawalan keselamatan yang memiliki lesen persenjataan, katanya, pihaknya sedang memantau syarikat-syarikat tersebut yang disyaki menggunakan senjata api bagi tujuan lain.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga akan mengkaji untuk memberi tambahan senjata api kepada anggota penguat kuasa imigresen bagi menjalankan tugas.

"Kita akan pertimbangkan jumlah senjata api yang akan diberikan kerana buat masa sekarang terdapat penambahan anggota baru dan ada permintaan terhadap penggunaan senjata api ini.

''Bagaimanapun, kita akan pastikan latihan rapi diberikan terlebih dahulu dan hanya anggota yang mempunyai integriti dibenarkan supaya tidak berlaku penyalahgunaan," katanya.