Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1217&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
17/12/2010

Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Jeneral Songkitti Jaggabatra di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur semalam.Turut sama Azizan Ariffin (kiri).

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Malaysia menolak permintaan Thailand untuk memperluaskan jarak pas sempadan bagi pelancongnya yang memasuki negara ini sehingga ke Pulau Pinang, atas faktor keselamatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan dibuat kerana tidak mahu masalah lain seperti jenayah dan aktiviti penyeludupan meningkat.

"Ketika ini, jarak pas sempadan yang dipersetujui adalah dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan kedua-dua negara dan ia membabitkan mereka yang keluar masuk setiap hari.

"Perbincangan lanjut akan diadakan untuk meneliti apa sahaja perkara yang membabitkan kepentingan kedua-dua negara," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Songkitti Jaggabatara.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada aturcara pemimpin tentera Thailand itu bersama 20 pegawainya yang sedang menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi Antara Malaysia dan Thailand (Malthai) kali ke-26 yang dipengerusikan oleh Azizan.








Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sikap Thailand yang memberikan respons baik terhadap pandangan Malaysia memudahkan kedua-dua negara menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang membabitkan kepentingan bersama.

"Walaupun Malaysia mengambil pendirian untuk tidak campur tangan dalam isu dalaman dan politik negara jiran namun kerana hubungan erat yang terjalin, kita tetap suarakan pandangan apabila perlu.

"Ini termasuklah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok tahun lepas, beliau telah menyarankan supaya penstrukturan semula modul pendidikan madrasah dan sekolah agama di wilayah selatan negara itu dibuat oleh pemimpin Thailand, cadangan itu telah diterima baik ," katanya.