Group :
URL :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm
Publisher :
Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad
Date :
19/02/1998
KANGAR 18 Feb. - Malaysia sedang berbincang dengan Thailand bagi mengadakan format baru pas sempadan dalam bentuk buku.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mohamed Zakri Abdul Rashid berkata, dokumen baru perjalanan terhad itu bagi menggantikan pas sempadan yang digunakan sekarang yang hanya berupa sekeping kertas.

Beliau berkata, dokumen dalam bentuk buku itu mungkin mengandungi banyak muka surat supaya ia boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama.

''Cadangan mengadakan buku perjalanan bentuk baru masih dalam peringkat perbincangan,'' kata Mohamed Zakri kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baru Jabatan Imigresen Perlis di sini hari ini.

Mohamed Zakri turut melancarkan sistem pas sempadan berkomputer yang akan mempercepatkan proses mengeluarkan pas sempadan.

Menurut beliau, tahun lalu sebanyak 51,000 pas sempadan dikeluarkan kepada penduduk Perlis yang melawat negara jiran.

Beliau berkata, setakat ini bilangan pemohon yang pergi ke negara jiran masih tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan walaupun kerajaan menaikkan kadar bayaran pas sempadan daripada RM2 kepada RM10 bagi tempoh enam bulan.

Mengenai rakyat yang keluar negara dengan menggunakan pasport antarabangsa, Mohamed Zakri berkata ia berkurangan 20 peratus berbanding sebelum kadar bayaran pasport antarabangsa dinaikkan 18 Oktober tahun lepas.

Bayaran pasport antarabangsa dinaikkan daripada RM145 dan RM265 masing-masing kepada RM300 dan RM600, manakala dokumen perjalanan terhad dinaikkan daripada RM60 kepada RM150.

Zakri berkata, kenaikan itu adalah satu daripada tindakan kerajaan untuk mengurangkan orang ramai keluar negara selaras dengan hasrat mengurangkan perbelanjaan rakyat di luar negara.

Mengenai pendaftaran semula pekerja asing bagi keperluan sektor tertentu, Zakri berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing akan bermesyuarat esok bagi meneliti perkara itu.

Katanya, tanggungjawab menghantar pekerja asing yang menganggur perlu dipikul oleh majikan yang pernah menggajikan mereka.

Di majlis yang sama Mohamed Zakri menyampaikan anugerah khidmat cemerlang 1997 kepada tujuh pegawai imigresen negeri ini.

Mereka ialah Mustaffa Bakri Tan Ishak, Jamal Ismail, Omar Mahmud, Hazmi Sulaiman, Siti Fatimah Hussain, Yeo Bok Kim dan Hasmah Mustaffa.